Friday 9 May 2014

LAPORAN KURSUS PERTANIAN DAN MANUSIA (PRT2008)

Pada 1 October  2010 yang lalu, kumpulan 16 untuk kursus Pertanian dan Manusia (PRT2008) telah dibawa untuk melawat ladang 10. Lawatan tersebut diketuai oleh pensyarah kami sendiri iaitu Profesor Mohd Khaniff bin Yusuf dan pembantu beliau serta pembantu ladang. Semua pelajar diarahkan untuk berkumpul di ladang 10 yang terletak di hadapan kolej serumpun. Kami semua berkumpul di ladang tersebut pada jam 8 pagi. Selepas itu Prof. Khanif menyerahkan tugas beliau kepada pembantu ladang untuk untuk memberikan penerangan lebih lanjut yang berkaitan lawatan tersebut.
            Objektif utama lawatan tersebut adalah untuk mendedahkan para pelajar dengan lebih lanjut dalam dunia pertanian. Disini pelajar dapat menimba ilmu bukan sekadar mendengar teori di dalam kelas bahkan dapat melihat secara langsung aktiviti pertanian di ladang.
            Sebelum kami dibawa untuk melawat ladang, pembantu ladang menerangkan serba sedikit tentang ladang 10. Ladang 10 bersaiz lebih kurang 17 hektar. Ladang 10 juga dikenali sebagai ladang bersepadu. Ladang tersebut mempunyai 4 kawasan untuk aktiviti pertanian. Antara kawasan tersebut ialah kawasan tanaman jangka pendek iaitu tanaman jagung, keledek, sayuran dan sebagainya. Selain itu terdapat juga kawasan tanaman buah- buahan seperti manggis, rambutan, durian dan sebagainya. Yang seterusnya ialah kawasan ternakan ikan akuakultur dan terakhir ialah kawasan ternakan lembu. Terdapar sebanyak 21 ekor lembu diternak di ladang tersebut. Selain mendapat hasil daripada daging lembu, ladang lembu juga berperanan untuk menghasilkan baja kompos yang diperoleh daripada najis lembu untuk  baja tanaman.
            Selain itu ladang 10 juga mempunyai 8 buah kolam untuk takungan air dan untuk siraman pokok tanaman. Disamping itu, terdapat juga rumah pam air untuk siram kawasan tanaman. Sistem siraman yang digunakan ialah sistem siraman pengairan titis. Sistem ini tidak perlu penjagaan rapi kerana siraman dilakukan secara automatik dan batang paip disalurkan di pangkal pokok tanaman. Melalui siraman secara manual pula, air dimasukkan kedalam tangki sebelum proses menyiram dapat dilakukan dengan mengambil air didalam tangki secara manual.
            Seterusnya pembantu ladang menerangkan pula tentang alat atau jentera yang digunakan dalam pertanian. Untuk tanaman padi terdapat jentera khas untuk tanaman padi iaitu jentera tanaman padi 4 roda dan jentera tanaman 2 roda. Selain itu, padi juga ditanam dengan cara tanam menggunakan tangan iaitu semaian rakit. Disamping itu, pembantu ladang juga menerangkan serba sedikit tentang alat untuk tuai padi, mesin untuk memotong rumput dan alat untuk bajak tanah.
            Selepas itu, pembantu ladang membawa kami melawat tanaman jagung. Sebelum menanam, tanah mestilah dikerjakan dengan menyeluruh untuk menggembur, menghapus rumpai, memperbaiki pengudaraan dan penyerapan air supaya ianya baik untuk pertumbuhan akar dan pokok. Batas juga perlu dibuat untuk tujuan sistem pengairan bagi mengelakkan air bertakung, dan memudahkan sistem penanaman. Bagi jarak tanaman pula, jumlah biji yang diperlukan bagi menanam 1 hektar tanah bergantung kepada jarak tanaman yang digunakan. Biasanya 75sm x 30sm. Siraman untuk jagung ialah selama 45 minit dan siraman boleh dibuat secara manual ataupun menggunakan sistem pengairan renjis. Bagi menanam jagung pula, traktor digunakan untuk tanaman secara besar-besaran. Bagi kawasan kecil pula kaedah menugal digunakan. Jagung boleh ditanam melalui 3 cara iaitu tanam dalam alur, tanam di atas batas, dan tanam di atas tanah rata. Hasil jagung boleh dipungut 68 hingga 72 hari selepas menanam dan 90 hingga 100 hari untuk biji benih. Teknik kutipan ialah tongkol jagung dipetik dengan tangan yang dilakukan pada pagi atau petang sahaja.
 Selepas itu, pembantu ladang membawa kami ke tempat tanaman sayur pula. Pembantu ladang menerangkan cara penanaman sayur. Cara untuk penanaman sayur ialah guna batas yang berukuran lebar 1 meter. Pembajakan di buat 2 hingga 3 kali kemudian membuat batas sebelum penanaman dilakukan. Untuk tanam sayur terlebih dahulu sediakan benih dan jenis tanaman sayur dahulu. Jenis sayur seperti petola, bendi, dan kangkong biji benihnya boleh ditabur terus di atas batas. Bagi tanaman cili dan terung pula tanaman dilakukan menggunakan kaedah semaian biji benih. Biji benih ditanam di dalam polibag terlebih dahulu dan dibiarkan stabil seterusnya barulah boleh dipindahkan  ke ladang. Sayur terbahagi kepada 3 iaitu sayuran daun seperti sawi, kangkong, dan bayam, sayuran buah seperti bendi, terong, dan petola, serta sayuran umbisi sepertiu keledek dan kentang. Hasil tuaian bagi sayuran daun ialah selama 3 minggu sahaja.
            Seterusnya pembantu ladang membawa kami melihat bagaimana sistem titis dilakukan. Immeter digunakan untuk titiskan air bagi tanaman. Contohnya tanaman betik, air dititiskan di bahagian pangkal pokok sahaja. Selain itu, pokok buah-buahan lain juga boleh menggunakan kaedah titis. Sistem titis dikontrol dengan alat selama 1 jam 20 liter sahaja.
            Seterusnya kami dibawa melawat kolam akuakultur. Terdapat 4 kolam ikan di UPM. Dua buah kolam digunakan untuk mengeluarkan benih dan sistem pengudaraan, manakala dua buah kolam lagi digunakan untuk ternakan ikan. Terdapat dua jenis kolam iaitu kolam semulajadi dan kolam buatan. Kolam semulajadi digunakan untuk kolam tadahan dan kolam buatan digunakan untuk ternakan ikan. Kolam buatan dubuat dengan menggali tanah  untuk membentuk kolam yang bersaiz lebih kurang 0.1 hektar dan bergantung kepada jenis ikan. Antara jenis ikan yang diternak ialah talipia, patin dan keli. Ikan yang dicampur dan diletakkan di kolam yang sama dipanggil polikultur. Untuk memasikan benih ikan hidup, pembajaan dilakukan di dalam kolam. Pengapuran air perlu dilakukan untuk memperoleh nilai Ph 6 hingga 9 yang sesuai untuk ternakan ikan. Zink digunakan disekeliling kolam bagi mengawal musuh utama ikan iaitu memerang daripada menceroboh kolam. Selain itu bagi ternakan di dalam sangkar, sangkar tersebut boleh di buat sendiri dengan frim besi, plampong dan jaring. Sistem sangkar boleh memuatkan  ikan sebanyak 12 petak 20 ribu ikan. Makanan ikan pula terdiri daripada perut ayam, pelet dan sebagainya. Jangka masa ikan diternak ialah selama 8 bulan sebelum hasil dapat di ambil.
            Seterusnya kami dibawa melawat kawasan tanaman padi. Pembantu ladang menerangkan cara-cara penanaman padi dan hal yang berkaitan dengan padi. Terdapat 3 cara penanaman padi di sawah iaitu tabur terus, mengubah dan menggunakan jentera. Antara faktor yang menentukan kejayaan cara tabur terus ialah tanah yang rata dan sistem pngawalan air yang baik. Biji benih pra cambah ditabur berselerak samada dengan tangan atau dengan mesin. Cara mengubah pula boleh dilakukan dengan 2 cara iaitu dengan tangan (mencedung) dan juga dengan jentera penanaman padi (transplanter). Walaubagaimanapun, kedua-dua cara tersebut diperlukan biji benih disemai terlebih dahulu.
            Penyediaan tanah untuk tanaman padi pula dilakukan sementara menunggu anak benih berada di tapak semaian membesar. Antara tujuan penyediaan tanah sawah ialah untuk mencampurkan bahan organik kedalam tanah bagi meninggikan kesuburannya, untuk mengawal rumpai, untuk mendapat tanah yang subur dan berlumpur, dan untuk membentuk lapisan keras. (hard pan) di bahagian bawah tanah. Pada kebiasaannya tanah dibajak  setelah 3 hingga 7 hari air dimasukkan kedalam sawah. Pembajakan dengan jentera 2 roda biasanya dilakukan bersama dengan kerja meratakan tanah. Pembajakan dilakukan 2 kali dengan selang masa 7 hingga 10 hari daripada pembajakan pertama. Musuh utama padi pula ialah tikus. Bagi memungut hasil padi masak 35 hingga 40 hari selepas berbunga. Penuaian dilakukan samada menggunakan sabit atau menggunakan jentera (jentuai).
            Dengan berakhirnya lawatan kami ke sawah padi maka berakhirlah lawatan kami pada hari tersebut. Sebelum pulang, kami dihidangkan  dengan jagung rebus dan buah betik. Semua yang terlibat menjamu selera sebelum balik.
            Kesimpulannya, lawatan tersebut sangat bagus untuk pelajar bagi meningkatkan lagi pengetahuan tentang pertanian moden dan teknologi terbaru yang digunakan dalam pertanian. Dapat disimpulkan bahawa pertanian bukan hanya tanam dan petik sahaja tetapi pertanian adalah perniagaan dan keuntungan yang diperoleh melalui pertanian dapat meningkatkan taraf hidup penduduk. Disamping mendapat banyak informasi semasa lawatan tersebut, kami juga dapat melepaskan tensyen semasa belajar. Jadi, lawatan tersebut ternyata berkesan bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan bahkan dapat memberikan keseronokan.

Sekian, Terima Kasih.